Dasar Luar Malaysia : Nota Sejarah SPM (2)

Dasar Luar Malaysia : Nota Sejarah SPM  (2)



3.  Perkembangan dasar luar Malaysia.


(i) Tahap Pertama : Tunku Abdul Rahman (1957-1970)


Dasar luar Malaysia pada tahap pertama memperlihatkan dasarpro-Barat yang antikomunis serta dasar berbaik-baik dengan negara jiran dan Komanwel. Dasar luar berkenaan dilaksanakan oleh Tunku Abdul Rahman disebabkan faktor politik, ekonomi dan sosial. Faktor politik merujuk pada ancaman komunis di negara-negara Asia Tenggara dan juga di dalam negara melalui Parti Komunis Malaya. Oleh itu, Malaysia memerlukan bantuan pertahanan daripada negara-negara Komanwel terutama Britain, Australia dan New Zealand.

Bagi menyekat perkembangan pengaruh Komunis, Malaysia telah menandatangani Perjanjian Pertahanan Inggeris-Tanah Melayu atau Anglo-Malayan Defence Treaty

(AMDA) pada tahun 1956. Mengikut perjanjian ini pihak British akan memberikan bantuan kepada Malaysia sekiranya diserang oleh mana-mana negara.


Di samping itu, dasar luar Malaysia juga adalah berbaik-baik dengan negara jiran. Hal ini disebabkan timbulnya krisis dengan negara jiran terutama selepas Malaysia mencapai kemerdekaan seperti konfrontasi dengan Indonesia (1963-1965), terputusnya hubungan dengan Filipina (1963-1965) dan keluarnya Singapura daripada Malaysia (1965). Usaha-usaha untuk memelihara hubungan dengan negara jiran terbukti melalui beberapa perjanjian. Malaysia telah menandatangani perjanjian menubuhkan Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASA) pada tahun 1961 bersama-sama Thailand dan Filipina, MAPHILINDO pada tahun 1962 bersama-sama Indonesia dan Filipina serta ASEAN pada tahun 1967 bersama-sama Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura.


Faktor ekonomi pula memperlihatkan pergantungan Malaysia kepada Britain dalam menjaga kepentingan ekonomi negara ini. Pertama, hal ini disebabkan Malaysia merupakan anggota blok sterling yang menjalankan urusan perdagangan dalam nilai mata wang paun sterling. Kedua, Malaysia masih memberikan tumpuan kepada dua hasil utamanya, iaitu bijih timah dan getah dengan mengharapkan sepenuhnya permintaan daripada negara Barat termasuk Britain. Ketiga, pelabur Britain masih





menguasai peratus yang besar dalam ekonomi Malaysia terutama dalam bidang perladangan dan perindustrian.

Bagi mengurangkan pergantungan ini, Malaysia yang mengamalkan pasaran bebas mula membina rangkaian perdagangan dengan negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Jepun, Singapura dan Jerman Barat bagi mengurangkan pergantungan kepada Britain dan bagi mencari pasaran baru.

(ii) Tahap Kedua :Tun Abdul Razak (1972-1976)

:Tun Hussein Onn(1976-1981)


Menjelang tahun 1970-an, dasar luar Malaysia mula berubah kepada dasar berkecuali dan berbaik-baik dengan semua negara. Perubahan dasar luar ini disebabkan kurangnya peranan yang dimainkan oleh AMDA dan kurangnya pengaruh Britain di Timur. Perubahan dasar ini juga disebabkan oleh pergolakan yang berlaku di Vietnam yang melibatkan dua kuasa besar, iaitu Amerika Syarikat dan China.
Bagi mencapai matlamat dasar luar Malaysia, beberapa usaha telah dilakukan seperti mengisytiharkan konsep Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) bersama-sama dengan anggota negara ASEAN. Malaysia juga telah menjalin hubungan diplomatik dengan negara berfahaman komunis seperti China,

Jerman Timur, Korea Utara, Vietnam Utara dan Mongolia. Malaysia turut mengadakan hubungan diplomatik dengan Vietnam pada tahun 1976. Masalah pelarian Vietnam di Malaysia dapat diatasi dengan kerjasama negara-negara jiran


Tahap Ketiga :Tun Dr Mahathir Mohamad(1981-2003)

Tahap ini masih mengekalkan dasar-dasar tahap kedua tetapi memberikan penekanan kepada kepentingan ekonomi yang berkaitan dengan isu-isu perdagangan, pelaburan dan pembangunan terutama dalam kalangan negara membangun. Bagi mencapai matlamat tersebut, Malaysia telah mengadakan hubungan yang lebih erat dengan negara-negara ASEAN seperti menyelesaikan krisis Vietnam dan Kampuchea.

Dasar Pandang ke Timur telah diperkenalkan pada tahun 1982 dengan menggunakan Jepun dan Korea Selatan sebagai model bagi membangunkan negara Malaysia. Dasar ini bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia mengambil dan




menerima pakai nilai-nilai yang baik seperti semangat mencintai negara, kesungguhan dalam pekerjaan dan etika pengurusan kerja yang baik.

Malaysia juga telah mempertingkatkan hubungan dua hala dengan negara-negara lain menerusi lawatan yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad ke negara Afrika, Amerika Selatan, Caribbean dan Pasifik Selatan. Dalam setiap misi lawatannya, misi perdagangan Malaysia akan turut serta dan menandatangani perjanjian perdagangan dua hala yang menguntungkan kedua-dua belah pihak. Malaysia menjalin hubungan politik dan perdagangan dengan negara maju dan negara dunia ketiga.

.